Saturday, May 1, 2010

Muzik Dalam Teater Malaysia


Menurut Prof. Dr. Mohamed Ghouse Nasuruddin, bangsawan sudah mula menapak di Pulau Pinang pada lewat tahun 1870-an lagi. Bangsawan dibawa masuk oleh para pedagang India The East India Company. Kemunculan bangsawan dipercayai hasil daripada pengaruh wayang Parsi atau Mendu. Kehadiran bangsawan juga membawa bersama jenis muzik popular Malaysia apabila pemuzik bangsawan menjadi perintis dalam mempopularkan muzik gabungan elemen-elemen tradisi Malaysia.
Krishen Jit seorang guru, ikon dan aktivis dalam teater kontemporari di Malaysia selama ini pun berpendapat bahawa drama/teater purbawara dan bangsawan sudah pasti wujud pada zaman lama sebelum merdeka lagi dan merupakan teater yang pertama sekali wujud di Malaysia. Drama dan teater sebegini menceritakan kehebatan Kerajaan Melayu dan orang serta watak-watak kenamaan dalam sejarah Melayu. Muzik iringan dimainkan secara langsung untuk mengiringi lagu-lagu bangsawan dan juga sebagai muzik latar. Maka muzik dalam teater bangsawan adalah satu komponen utama dalam teater disamping para pemuzik dapat mencari rezeki sebagai pemuzik profesional ketika itu.
Institusi Malayan Arts Theatre Group (MATG) ditubuhkan pada tahun 1950-an oleh kaum orang putih dan kemudiannya bertukar tangan kepada orang Malaysia. Institusi ini ditutup pada tahun 1978. Teater dan drama Cina, India dan Melayu pun wujud dalam konteks bahasa masing-masing disamping teater Barat. Bagaimanapun, kebanyakan pemuzik yang melibatkan diri dalam kumpulan teater atau drama seperti ini pada zaman selepas zaman bangsawan tidak boleh dianggap sebagai pemuzik profesional kerana punca rezeki mereka tidaklah hanya daripada teater. Penglibatan mereka adalah lebih kerana minat disebabkan mereka mempunyai kerja atau karier lain.
Muzik teater ialah muzik yang mendukung pementasan dalam petunjukan teater baik yang bersifat instrumen mahupun lagu yang menghidupkan suasana di beberapa adegan dan babak dalam sesuatu pertunjukan. Muzik teater terdiri daripada muzik pembuka, muzik pengiring, muzik suasana dan muzik penutup. Muzik pembuka ialah muzik diawal pertunjukan teater yang berfungsi untuk merangsang imaginasi penonton dalam memberi sedikit gambaran tentang teater yang akan disajikan. Muzik pengiring pula merupakan muzik yang digunakan untuk mengiringi pertunjukan di beberapa adegan pertunjukan teater atau perpindahan adegan. Muzik pengiring berfungsi untuk memberikan sentuhan indah dan manis agar ritma permainan seimbang dengan adegan lakonan(tidak semua adegan diberikan muzik, hanya adegan-adegan tertentu sahaja)seperti suasana, lampu dan kostum.
Muzik suasana ialah muzik yang menghidupkan irama permainan serta suasana dalam pertunjukan teater baik sedih, gembira mahupun tragis. Muzik suasana bertindak untuk memberikan roh permainan yang menarik, indah dan terlihat jelas antara klimaks dan anti-klimaksnya. Muzik penutup pula merupakan muzik terakhir sebagai penutup dalam pementasan teater. Muzik penutup berfungsi untuk memberikan kesan kepada penonton hasil dari pertunjukan teater yang disajikan baik yang bersifat buruk, gembira, sedih dan sebagainya lagi untuk pengajaran dan nilai moral kepada penonton.

No comments:

Post a Comment