Showing posts with label Music Knowledge. Show all posts
Showing posts with label Music Knowledge. Show all posts
Thursday, October 13, 2011
Tribute To Mohd Jais Bin Ahmad (Ahmad Jais)
Nama : Mohd Jais Bin Ahmad
Tarikh Lahir : 28 Mac 1936
Tempat Lahir : Kapar, Klang, Selangor
Meninggal : 11 Oktober 2011
Jumlah Album : 15 Album (1965-2011)
Anugerah : Juara Lagu Asli 1959 dan 1960
Juara Lagu Pop 1961
Juara Lagu Asli 1962
Anugerah Artis Sepanjang Zaman Papita 2002
Anugerah Biduan Veteren Menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2002
Dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) Pada 2006 Yang Membawa Gelaran Datuk
Filem : Aksi Kucing (1966)
Dara Kula ( Awal 70-an)
Si Badul (1978)
Antara Lagu-lagu Popular : Di Ambang Sore
Juwitaku Sayang
Budi Setahun Segunung Intan
Kucupan azimat
Gelisah
Azizah
Selamat Hari Raya
Mengharap Sinar Menelan Kabus
Lembaran Terakhir
Umpan Jinak Di Air Tenang
Bahtera Merdeka
Indahnya Dunia Hatiku
Berpisah Jauh
Selamat Tinggal Bungaku
Takwa Iman
Mata Duitan
Ke Mana Di Mana
Mengapa Tiada Maaf
Jangan Di Tanya Bilaku Berdua
Lima Tahunku Cari
Mengikat Janji
Antara Dua Hati
Bayangan
Menanti Di Ambang Syurga
Nota : Al-Fatihah buat beliau...semoga roh beliau dicucuri Rahmat. Amin...
Wednesday, October 6, 2010
Apakah Itu Demo, Single, EP Dan LP?
Aku percaya ramai antara kita yang masih tak dapat bezakan antara demo, single, EP dan juga LP dan tak kurang juga yang tak tahu langsung apakah itu demo, single, EP dan LP. Okey kat sini aku akan berkongsi sedikit pengetahuan aku dengan korang pasal benda – benda ni. Actually aku sendiri pun tak dapat nak bezakan antara demo, single, EP dan juga LP. So aku buat la sedikit research and then ni la conclusion yang aku dapat:
Demo – Demo adalah singkatan dari perkataan “demonstration”. Selalunya band akan rekod demo untuk rujukan mereka. Contohnya, sebelum diorang masuk studio untuk rakamkan sesuatu lagu untuk single, EP ataupun album, diorang akan rekod demo untuk mereka dengar dan mungkin perbaiki lagu yang akan dirakamkan tu.
Single – Single selalunya mengandungi satu lagu utama dan dua atau tiga lagu yang orang selalu panggil B-side atau dengan lain perkataan lagu-lagu yang tak ada dalam album. Single ni selalunya akan release sebelum album dikeluarkan sebagai teaser. Lepas album dah keluar, single masih boleh dikeluarkan dan selalunya akan mengandungi lagu yang band nak putarkan di radio. Selalunya run-time untuk sebuah single tidak akan lebih dari 10 minit.
EP(Extended Play) – EP ni singkatan dari perkataan Extended Play dan selalunya mengandungi lebih banyak lagu, selalunya dalam tiga ke empat lagu dengan run-time sepanjang 10-28 minit.
LP @ Album – Album selalunya akan mengandungi 10 atau lebih lagu dengan run-time antara 30 ke 80 minit.
Thursday, September 2, 2010
Trivia Negaraku
- Akta Lagu Kebangsaan 1968 telah menjelaskan bahawa lagu “Negaraku” perlu dipelihara dan tidak boleh dipersendakan. Mereka yang melakukan kesalahan seperti yang termaktub dalam akta ni boleh dihukum.
- Pada zaman 60′an, lagu “Negaraku” akan dimainkan di panggung wayang setiap kali filem tamat ditayangkan.
- Lagu “Terang Bulan” pernah digunakan oleh Presiden Sukarno untuk memperlekehkan Malaysia ketika berlakunya Konfrantasi Indonesia-Malaysia 1962-1966.
- Hattan dan Ning Baizura pernah dikritik hebat di Dewan Rakyat kerana dikatakan menyanyikan lagu “Negaraku” dengan sumbang dalam perlawanan bolasepak sedangkan penonton yang berlari-lari ketika “Negaraku” berkumandang tak pulak dikata sumbang.
- Radio Era pernah diberi amaran oleh Datuk Seri Utama Rais Yatim dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menghentikan spekulasi isu “Negaraku” tiru “Mamula Moon” pada 2005.
- Pada 2007, seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Taiwan bernama Wee Meng Chee (atau dikenali sebagai Namewee di You Tube) telah menimbulkan kontroversi kerana lagu “Negaraku” versi rapnya yang tersiar di You Tube mengandungi lirik yang menhina negara, bangsa, agama dan kerajaan. Beliau kemudiannya dilaporkan meminta maaf kepada mereka yang rasa terhina kerana video tersebut dalam sebuah akhbar tempatan.
- Jamaludin Alias merupakan orang pertama yang menyanyikan “Negaraku”. Selain lagu “Negaraku”, beliau turut menyanyikan lagu-lagu patriotik yang lain seperti “Perajurit Tanah Air” dan “Malaysia Berjaya”.
Wednesday, September 1, 2010
Asal Usul Lagu Negaraku
Salam kemerdekaan dan salam Ramadhan kepada semua. Diam tak diam dah 53 tahun negara kita Malaysia merdeka dan sepanjang tempoh tu bermacam-macam sejarah telah tercatat. So sempena kemerdekaan ke-53 negara kita ni aku nak cerita sikit pasal sejarah lagu kebangsaan kita iaitu “Negaraku” dengan harapan semangat patriotik korang terhadap negara semakin menebal. Aku tengok budak-budak sekarang ni dah semakin terhakis la diaorang punya semangat patriotik tu coz terlalu taksub sangat dengan budaya luar. Aku dah bosan untuk melihat dan mendengar diaorang ni mempersenda serta mempermainkan sesuatu yang dicipta untuk menaikkan semangat cintakan negara dimana simbol-simbol yang dicipta ni menjadi sumber perpaduan dan aspirasi bangsa Malaysia. So dengan penulisan aku ni aku harap dapat menyuburkan semangat patriotik didalam diri mereka dan juga diri kita supaya perjuangan nenek moyang kita lebih dihargai.
Menurut sumber, lagu “Negaraku” di ambil dari lagu negeri Perak yang berasal dari lagu “Terang Bulan” atau “La Rosalie” yang dibawa pulang oleh Sultan Abdullah dari Pulau Mahé di Kepulauan Seychelles setelah baginda selesai menjalani hukuman dibuang negeri kerana didakwa bersubahat membunuh J.W.W Birch. Lagu “La Rosalie” ni telah dicipta oleh seorang komposer dari Perancis bernama Pierre Jean de Beranger(1780-1857). Lagu “La Rosalie” ini kemudiannya telah diberikan seni kata baru dan dinamakan “Allah Lanjutkan Usia Sultan” seterusnya dijadikan lagu rasmi negeri Perak. Sementara itu, satu produksi bangsawan Indonesia telah memperkenalkan “La Rosalie” kepada umum ketika mereka mengadakan persembahan di Singapura. Melodi asal lagu itu telah diberi sentuhan keroncong. Tajuknya ditukar kepada “Trang Boelan” dan liriknya pula bertemakan cinta. Walaupun asas melodinya sama dengan lagu rasmi negeri Perak, “Trang Boelan” juga menjadi siulan dan dimainkan di parti-parti di Indonesia dan Malaya sekitar tahun 20-an dan 30-an.
Sejurus selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu iaitu pada tahun 1948 dan setelah terciptanya bendera asas kepada Jalur Gemilang sehinggalah 1965, tiada usaha dijalankan untuk mencipta satu lagu kebangsaan yang diterima pakai sebagai lagu kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk memilih lagu kebangsaan. Berdasarkan cadangan beliau, pertandingan antarabangsa telah diadakan dan sebanyak 514 penyertaan diterima dari seluruh pelusuk dunia. Jawatankuasa pemilihan mendapati 4 buah penyertaan yang layak untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan iaitu lagu-lagu hasil ciptaan Benjamin Britten, Sir William Walton, Carlo Minetti dan Zubir Said.
Walaubagaimanapun penyertaan terpilih ni masih tidak dapat memenuhi kehendak ahli-ahli jawatankuasa dalam pemilihan lagu kebangsaan. Pihak jawatankuasa mengambil keputusan untuk meneliti 11 lagu-lagu rasmi negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu untuk dipilih sebagai lagu kebangsaan. Akhirnya pihak jawatankuasa membuat keputusan pada 5 Ogos 1957 dan mengambil irama rasmi negeri Perak berdasarkan ciri-ciri tradisional yang ada pada irama lagu tersebut. Lagu rasmi negeri Perak telah diubahsuai dan lirik lagu kebangsaan ditulis oleh ahli-ahli panel jawatankuasa pemilihan dan Tunku Abdul Rahman sendiri.
Itulah serba sedikit sejarah ringkas lagu “Negaraku” yang dapat aku tulis. Aku ingin meminta maaf jika penulisan aku ni tersilap beberapa fakta. Namun begitu sepanjang penulisan ini aku terfikirkan sesuatu,”Alangkah baiknya jika lagu “Negaraku” ini datang dari idea yang asal atau asli.” Hmmm…??? Korang fikir la sindiri…
Saturday, May 1, 2010
Muzik Dalam Teater Malaysia
Menurut Prof. Dr. Mohamed Ghouse Nasuruddin, bangsawan sudah mula menapak di Pulau Pinang pada lewat tahun 1870-an lagi. Bangsawan dibawa masuk oleh para pedagang India The East India Company. Kemunculan bangsawan dipercayai hasil daripada pengaruh wayang Parsi atau Mendu. Kehadiran bangsawan juga membawa bersama jenis muzik popular Malaysia apabila pemuzik bangsawan menjadi perintis dalam mempopularkan muzik gabungan elemen-elemen tradisi Malaysia.
Krishen Jit seorang guru, ikon dan aktivis dalam teater kontemporari di Malaysia selama ini pun berpendapat bahawa drama/teater purbawara dan bangsawan sudah pasti wujud pada zaman lama sebelum merdeka lagi dan merupakan teater yang pertama sekali wujud di Malaysia. Drama dan teater sebegini menceritakan kehebatan Kerajaan Melayu dan orang serta watak-watak kenamaan dalam sejarah Melayu. Muzik iringan dimainkan secara langsung untuk mengiringi lagu-lagu bangsawan dan juga sebagai muzik latar. Maka muzik dalam teater bangsawan adalah satu komponen utama dalam teater disamping para pemuzik dapat mencari rezeki sebagai pemuzik profesional ketika itu.
Institusi Malayan Arts Theatre Group (MATG) ditubuhkan pada tahun 1950-an oleh kaum orang putih dan kemudiannya bertukar tangan kepada orang Malaysia. Institusi ini ditutup pada tahun 1978. Teater dan drama Cina, India dan Melayu pun wujud dalam konteks bahasa masing-masing disamping teater Barat. Bagaimanapun, kebanyakan pemuzik yang melibatkan diri dalam kumpulan teater atau drama seperti ini pada zaman selepas zaman bangsawan tidak boleh dianggap sebagai pemuzik profesional kerana punca rezeki mereka tidaklah hanya daripada teater. Penglibatan mereka adalah lebih kerana minat disebabkan mereka mempunyai kerja atau karier lain.
Muzik teater ialah muzik yang mendukung pementasan dalam petunjukan teater baik yang bersifat instrumen mahupun lagu yang menghidupkan suasana di beberapa adegan dan babak dalam sesuatu pertunjukan. Muzik teater terdiri daripada muzik pembuka, muzik pengiring, muzik suasana dan muzik penutup. Muzik pembuka ialah muzik diawal pertunjukan teater yang berfungsi untuk merangsang imaginasi penonton dalam memberi sedikit gambaran tentang teater yang akan disajikan. Muzik pengiring pula merupakan muzik yang digunakan untuk mengiringi pertunjukan di beberapa adegan pertunjukan teater atau perpindahan adegan. Muzik pengiring berfungsi untuk memberikan sentuhan indah dan manis agar ritma permainan seimbang dengan adegan lakonan(tidak semua adegan diberikan muzik, hanya adegan-adegan tertentu sahaja)seperti suasana, lampu dan kostum.
Muzik suasana ialah muzik yang menghidupkan irama permainan serta suasana dalam pertunjukan teater baik sedih, gembira mahupun tragis. Muzik suasana bertindak untuk memberikan roh permainan yang menarik, indah dan terlihat jelas antara klimaks dan anti-klimaksnya. Muzik penutup pula merupakan muzik terakhir sebagai penutup dalam pementasan teater. Muzik penutup berfungsi untuk memberikan kesan kepada penonton hasil dari pertunjukan teater yang disajikan baik yang bersifat buruk, gembira, sedih dan sebagainya lagi untuk pengajaran dan nilai moral kepada penonton.
Wednesday, March 3, 2010
Bunyian Seattle
Cuma dalam masa 3 tahun industri muzik memperlihatkan kegemilangan dan kejatuhan satu genre muzik yang baru dimana ianya telah meninggalkan satu legasi melewati zaman. Muzik grunge bermula di Seattle,USA dimana muzik ini berakar umbikan muzik hardcore punk, heavy metal, alternative rock dan juga indie rock. Lirik yang melambangkan penindasan/tekanan dan kemarahan, aktiviti merosakkan instrument selepas persembahan dan juga anti media/anti populariti merupakan sebahagian daripada trademark grunge.
Walaupun bunyian ‘garage recorded’ muzik grunge masih asing pada tahun-tahun 80’an, namun ianya menjadi kegilaan dunia diantara tahun 1991-1994 dengan kemunculan 2 buah band grunge yang cukup hebat iaitu Nirvana dan juga Pearl Jam. Era kegemilangan grunge bermula apabila Nirvana melancarkan album Nevermind pada tahun 1991 dibawah label SubPop, sebuah record label independent yang telah banyak menaungi band-band grunge yang berjaya. Kejayaan album Nevermind telah melonjakkan nama Nirvana diarena muzik mainstream dan telah menyebabkan frontman Nirvana iaitu Kurt Cobain menjadi idola dunia. Situasi ini kekal sehingga ke hari kini manakala ‘the killer song’ Nirvana iaitu ‘Smells Like Teen Spirit’ the diundi sebagai salah satu lagu terhebat sepanjang zaman.
Pada masa yang sama Pearl Jam turut mencatatkan kejayaan melalui lagu-lagu mereka seperti Jeremy,Alive dan juga Once. Seperti Nirvana, Pearl Jam juga turut berhadapan dengan keghairahan pihak media untuk mendapatkan berita –berita sensasi mereka tetapi berjaya ditangani melalui komen/interview yang jarang-jarang dibuat dan juga melalui pendekatan bermain muzik di konsert-konsert yang kecil. Dengan lain perkataan, Pearl Jam meneruskan karier muzik mereka dengan cara dan pendekatan mereka sendiri. Para remaja di Amerika dan juga UK sering memperkatakan mengenai budaya grunge melalui lirik-lirik lagu mereka dan cuba memahami dan menyesuaikannya kedalam pemikiran mereka. Keadaan ini menyebabkan pihak media dikedua-dua negara telah menganugerahkan Kurt Cobain bersama-sama dengan Eddie Vedder dengan gelaran ‘Spokespeople Of Generation X’.
Selain daripada Nirvana dan Pearl Jam, band seperti Tad, Mudhoney dan Soundgarden turut banyak memberi sumbangan bermakna didalam perkembangan muzik grunge. Muzik grunge merupakan genre muzik yang banyak di dominasi oleh kaum lelaki, namun band Hole yang diterajui oleh isteri Kurt Cobain iaitu Courtney Love membuktikan bahawa wanita juga suka memberontak dan mampu menimbulkan kekecohan dengan merosakkan instruments muzik sendiri setanding dengan band-band grunge lelaki yang ada. Ini menunjukkan bahawa grunge bukan hanya untuk golongan lelaki sahaja malahan golongan wanita juga kerana grunge bukan hanya sekadar muzik tetapi lebih kepada budaya berpakaian. Ini bermakna grunge tidak membawa sebarang erti tanpa uniformnya. Sebagai penentang kepada cara berpakaian golongan profesional di Seattle, ’Grungers’ akan muncul dijalanan dengan seluar jeans yang koyak, berkasut Converse dan dengan rambut panjang yang tidak terurus.
Kejatuhan grunge secara tiba-tiba adalah sesuatu yang mengejutkan dunia. Dikala itu Nirvana berada dipuncak kejayaan dengan penjualan album Nevermind sebanyak 10juta salinan di US sahaja. Namun kejayaan tersebut tidak membawa kegembiraan kepada Kurt Cobain sebaliknya membawa tekanan kepada beliau diatas kemasyhuran yang diterima dan pada tanggal 8 April 1994 penyanyi ini telah membunuh diri. Ini telah membawa kepada kejatuhan dan penamat kepada generasi grunge. Pada hari ini band-band seperti Puddle Of Mudd cuba mengembalikan era kegemilangan grunge namun tidak berjaya kerana mereka lebih terarah kepada band rock dimana mereka lebih mudah mendampingi pihak media. Begitu juga dengan bekas drummer Nirvana iaitu Dave Grohl dimana beliau telah membentuk band Foo Fighters dan telah mencapai kejayaan dibawah naungan muzik rock.
Bagi sebuah pergerakan yang bermula di sebuah pekan yang kecil, grunge merupakan sesuatu yang besar dan menakjubkan. Ianya meledak di arena muzik secara tiba-tiba dan kemudiannya hilang secara mengejut dengan cepat. Adalah sukar untuk mempercayai bahawa grunge merupakan salah satu muzik yang menyeronokkan dan juga popular suatu ketika dahulu.
Tuesday, December 1, 2009
Citarasa Pendengar Muzik Malaysia
Bagaikan baru semalam kita menyambut kedatangan tahun 2009, tanpa kita sedari bahawa kita sebenarnya telah pun melalui tahun 2009 selama 3 bulan dengan meninggalkan tahun 2008 bersama-sama 1001 kisah suka dan duka dalam sejarah peribadi hidup kita. Demikian juga halnya dengan industri muzik kita apabila pada tahun 2008 pelbagai kisah jatuh bangun industri turut tercatat bagi mewarnai lagi industri muzik kita. Antaranya kisah pemergian Loloq iaitu seorang penulis lirik yang sentiasa tampil dengan bait-bait kata puitis di dalam karyanya dan juga pemergian Samad Lefthanded, seorang gitaris lagenda yang menjadi rujukan kebanyakkan gitaris masa kini. AL-FATIHAH buat mereka dan juga kepada pejuang-pejuang muzik yang telah pergi meninggalkan kita, semoga roh mereka dicucuri Rahmat…AMIN. Tahun 2008 memperlihatkan satu fenomena bunyian baru muzik Malaysia telah terhasil iaitu bunyian muzik bawaan pemuzik-pemuzik indie di arus perdana. Sejarah muzik di negara kita telah membuktikan bahawa citarasa pendengar muzik kita sentiasa berubah-ubah. Mari kita soroti beberapa perubahan citarasa pendengar muzik kita dari era 50′an hingga kini.
Era 50′an pendengar muzik kita telah ditawan dan dibuai dengan irama-irama indah Allahyarham Tan Sri P.Ramlee atau nama sebenar beliau Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh. Umum telah mengetahui bahawa beliau merupakan seorang pelakon, penyanyi, pengarah, pemuzik dan penulis lagu yang terkenal di Malaysia dan juga Singapura. Beliau bermula dengan bermain ukulele (sejenis alat muzik dari Hawaii) dan kemudiannya beralih kepada gitar serta biola di bawah tunjuk ajar Encik Kamaruddin iaitu seorang pemimpin brass band di Penang Free School. Pada tahun 1946 beliau telah menyertai Orkes Teruna Sekampung dan pada tahun yang sama juga beliau kemudiannya menyertai Sinaran Bintang Sore. Pada tahun 1947 beliau telah menjadi juara nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Di dalam pertandingan itu beliau telah menggunakan huruf ‘P’ sebagai pengganti bagi Puteh di awal nama dan nama P.Ramlee itu kekal sehingga akhir hayatnya. Sepanjang hayat beliau sebagai seorang penyanyi, penulis lagu dan pemuzik, beliau telah menghasilkan lebih kurang 390 buah lagu dan antara lagu beliau yang popular adalah seperti ‘Azizah’, ‘Bunyi Gitar’, ‘Dendang Perantau’ dan ‘Getaran Jiwa’. Beliau juga telah menerima pelbagai anugerah muzik dari dalam dan juga luar negara. Antaranya anugerah Best Music di 3rd Asian Film Festival di Hong Kong dan juga anugerah Lagu Paling Popular dari Radio Malaya.
Era 60′an pula memperlihatkan irama pop yeh-yeh telah menguasai dunia muzik kita. Semasa 1960′an berlaku perubahan yang mendadak didalam scene muzik kita apabila Singapura dipisahkan dari negara kita. Perubahan scene muzik kita yang mendadak ini juga berpunca daripada pengaruh Barat yang mana telah mempengaruhi budaya hidup kita terutama sekali mereka yang berada di bandar. Pada penghujung era 60′an, jeans dan skirts mula menjadi kegilaan para remaja, bukan sahaja di bandar-bandar besar bahkan di pekan-pekan kecil juga. Muzik dan fesyen dari The Beatles dan juga band-band rock ‘n’ roll British merupakan pengaruh yang kuat terhadap pembentukan irama pop yeh-yeh dan secara tidak langsung telah mempengaruhi scene muzik Melayu pada ketika itu. Malahan istilah ‘pop yeh-yeh’ itu sendiri telah diambil dari salah satu lagu popular The Beatles iaitu ‘She Loves You’ di mana salah satu baris lirik lagu ini berbunyi, ‘She Loves You, Yeah-Yeah-Yeah’. Lagu pop yeh-yeh yang pertama dihasilkan adalah pada tahun 1964 iaitu lagu ‘Suzanna’ dendangan M.Osman. Selain M.Osman antara penyanyi yang turut mencipta nama melalui irama pop yeh-yeh adalah seperti A.Ramlie, S.Jibeng, Jeffrydin dan Ahmad Jais, manakala band yang popular pula adalah seperti The Rhythm Boys, The Hook, The Jayhawkers dan The Siglap Five. Ciri-ciri bunyian irama pop yeh-yeh yang mempunyai vokal yang mendayu-dayu, permainan drum yang simple, riff gitar yang mudah dan rancak serta permainan bass yang berbunga menyebabkan ianya mudah untuk diterima umum.
Pada awal era 1970′an, muzik kita telah dibentuk oleh beberapa gaya muzik. Era ini merupakan era dimana kita membuat kembali penelitian, penemuan dan perkembangan semula terhadap scene muzik kita. Masalah antara kaum yang tidak dapat dikawal diantara tahun 1969 hingga 1970 telah membawa kepada darurat dan sekaligus membantutkan perkembangan industri muzik dalam negara. Setelah keadaan didalam negara pulih seperti sedia kala, industri muzik turut mengalami proses pemulihan dan penyesuaian semula. Ianya merupakan zaman yang sukar bagi industri muzik kita kerana kehidupan yang tidak selesa dan ditambah pula dengan hasil atau pulangan yang tidak seberapa, namun begitu pada masa yang sama teknologi rakaman telah meningkat,peningkatan kepelbagaian instrument muzik dipasaran dan memperlihatkan lebih ramai masyarakat yang meminati muzik. DJ Dave, Hail Amir dan Uji Rashid merupakan antara individu-individu yang mampu survive pada ketika itu kerana memperkenalkan pengaruh muzik Hindustan di dalam lagu-lagu mereka. Pada lewat 1970′an industri muzik kita banyak dipengaruhi muzik-muzik dari ABBA, Boney M, Madonna dan sebagainya. Pengaruh-pengaruh muzik seperti ini telah di bawa oleh syarikat-syarikat rakaman besar seperti EMI(UK) dan juga Sony(Jepun). Kumunculan syarikat-syarikat rakaman besar ini telah menyokong perkembangan muzik pop kita yang seakan-akan sama muzik Barat(kebanyakkan pemuzik dan penyanyi ketika itu bernaung dibawah syarikat-syarikat rakaman besar ini). Walaupun muzik pop kita seakan sama dengan muzik Barat tetapi ianya masih mempunyai karektornya yang tersendiri, antaranya mempunyai irama yang bercirikan ketimuran, lirik yang berbentuk puisi atau sajak serta lirik yang mendalam maksudnya.
Era 80′an merupakan zaman kegemilangan rock kangkang atau lebih dikenali sebagai rock kapak dimana penghujung 80′an merupakan zaman emas rock kapak. Rock kapak terhasil dari pengaruh budaya muzik rock Barat yang mendorong kemunculan band-band rock tempatan. Band-band rock Barat seperti Scorpions, Led Zeppelin dan Deep Purple merupakan antara entiti yang menjadi rujukan band-band rock tempatan pada ketika itu. Perkembangan rock kapak juga turut dibantu oleh penganjuran pertandingan peringkat kebangsaan seperti Juara Rock, Festival Rock dan Battle Of The Bands. Pertandingan kumpulan rock kebangsaan yang pertama diadakan adalah pertandingan Juara Rock 1983 yang mana telah dimenangi oleh D’Febians dan The Lefthanded. Pada tahun berikutnya iaitu di Juara Rock 1984, The Burnmarks telah meraih tempat pertama, Hurricane ditempat ke-2 dan tempat ke-3 telah di menangi oleh kumpulan Gersang. Juara Rock merupakan perintis kepada wujudnya pertandingan-pertandingan rock yang lain selepas itu. Zaman itu merupakan zaman yang meriah dengan imej glamnya, seluar ketat, lipstik dan rambut karennya.
Selepas era rock kapak semakin malap, tahun 90′an muncul pula era rock moden kata orang. Band seperti Spring dan Ukay’s merupakan antara band yang menjadi kegilaan ketika itu dengan lagu-lagu hangat mereka seperti ‘Butakah Cinta’ dan ‘Disana Menanti, Disini Menunggu’.Uih, rock ke? Jiwang sangat daa…Dalam tahun 2000 pasaran kita disogokkan pula dengan irama poprock. Spin, Scoin dan Sting merupakan antara band-band yang menguasai pasaran poprock ketika itu(ini pun jiwang juga ni, tak rock langsung). Selepas itu scene muzik kita menjadi agak suram dengan lambakan muzik seperti nasyid, hip-hop, rancangan realiti TV dan muzik-muzik dari Indonesia. Namun begitu scene muzik kita seakan bernyawa kembali pada tahun 2007 apabila para pendengar mula menerima muzik-muzik garapan band-band indie. Muzik yang dibawa secara indie ini nyata lebih kreatif, penuh mesej, lebih telus dan jujur dalam berkarya.
Pendengar muzik kita bolehlah dikatakan pendengar yang tegar kerana mereka boleh menerima pelbagai jenis genre muzik untuk santapan halwa telinga mereka. Ironinya pendengar kita masih lagi menanti dan mencari sesuatu yang baru dan segar untuk didengar. Oleh itu, para pemuzik perlu berani melakukan perubahan agar muzik kita tidak tersekat disatu sudut penjuru pemikiran dalam bermuzik. Kita tewas dari segi mentaliti dan usaha sedangkan pemuzik luar aktif mencari pembaharuan dalam karya muzik mereka agar dapat diterima umum. Industri kita pula hanya mementingkan keuntungan semata-mata dan meriah dengan gosip-gosip dan publisiti-publisiti yang tidak membawa kepada perkembangan industri. So apa yang akan jadi kita punya muzik 10 atau 20 tahun lagi? Mampukah muzik indie ini membawa perubahan kepada industri?
Nota:Ini merupakan hasil penulisan aku yang ke-2 tuk blog lama aku yang mana aku cuba mengupas isu citarasa pendengar muzik kita yang sentiasa berubah-ubah.

Subscribe to:
Posts (Atom)