Bagaikan baru semalam kita menyambut kedatangan tahun 2009, tanpa kita sedari bahawa kita sebenarnya telah pun melalui tahun 2009 selama 3 bulan dengan meninggalkan tahun 2008 bersama-sama 1001 kisah suka dan duka dalam sejarah peribadi hidup kita. Demikian juga halnya dengan industri muzik kita apabila pada tahun 2008 pelbagai kisah jatuh bangun industri turut tercatat bagi mewarnai lagi industri muzik kita. Antaranya kisah pemergian Loloq iaitu seorang penulis lirik yang sentiasa tampil dengan bait-bait kata puitis di dalam karyanya dan juga pemergian Samad Lefthanded, seorang gitaris lagenda yang menjadi rujukan kebanyakkan gitaris masa kini. AL-FATIHAH buat mereka dan juga kepada pejuang-pejuang muzik yang telah pergi meninggalkan kita, semoga roh mereka dicucuri Rahmat…AMIN. Tahun 2008 memperlihatkan satu fenomena bunyian baru muzik Malaysia telah terhasil iaitu bunyian muzik bawaan pemuzik-pemuzik indie di arus perdana. Sejarah muzik di negara kita telah membuktikan bahawa citarasa pendengar muzik kita sentiasa berubah-ubah. Mari kita soroti beberapa perubahan citarasa pendengar muzik kita dari era 50′an hingga kini.
Era 50′an pendengar muzik kita telah ditawan dan dibuai dengan irama-irama indah Allahyarham Tan Sri P.Ramlee atau nama sebenar beliau Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh. Umum telah mengetahui bahawa beliau merupakan seorang pelakon, penyanyi, pengarah, pemuzik dan penulis lagu yang terkenal di Malaysia dan juga Singapura. Beliau bermula dengan bermain ukulele (sejenis alat muzik dari Hawaii) dan kemudiannya beralih kepada gitar serta biola di bawah tunjuk ajar Encik Kamaruddin iaitu seorang pemimpin brass band di Penang Free School. Pada tahun 1946 beliau telah menyertai Orkes Teruna Sekampung dan pada tahun yang sama juga beliau kemudiannya menyertai Sinaran Bintang Sore. Pada tahun 1947 beliau telah menjadi juara nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Di dalam pertandingan itu beliau telah menggunakan huruf ‘P’ sebagai pengganti bagi Puteh di awal nama dan nama P.Ramlee itu kekal sehingga akhir hayatnya. Sepanjang hayat beliau sebagai seorang penyanyi, penulis lagu dan pemuzik, beliau telah menghasilkan lebih kurang 390 buah lagu dan antara lagu beliau yang popular adalah seperti ‘Azizah’, ‘Bunyi Gitar’, ‘Dendang Perantau’ dan ‘Getaran Jiwa’. Beliau juga telah menerima pelbagai anugerah muzik dari dalam dan juga luar negara. Antaranya anugerah Best Music di 3rd Asian Film Festival di Hong Kong dan juga anugerah Lagu Paling Popular dari Radio Malaya.
Era 60′an pula memperlihatkan irama pop yeh-yeh telah menguasai dunia muzik kita. Semasa 1960′an berlaku perubahan yang mendadak didalam scene muzik kita apabila Singapura dipisahkan dari negara kita. Perubahan scene muzik kita yang mendadak ini juga berpunca daripada pengaruh Barat yang mana telah mempengaruhi budaya hidup kita terutama sekali mereka yang berada di bandar. Pada penghujung era 60′an, jeans dan skirts mula menjadi kegilaan para remaja, bukan sahaja di bandar-bandar besar bahkan di pekan-pekan kecil juga. Muzik dan fesyen dari The Beatles dan juga band-band rock ‘n’ roll British merupakan pengaruh yang kuat terhadap pembentukan irama pop yeh-yeh dan secara tidak langsung telah mempengaruhi scene muzik Melayu pada ketika itu. Malahan istilah ‘pop yeh-yeh’ itu sendiri telah diambil dari salah satu lagu popular The Beatles iaitu ‘She Loves You’ di mana salah satu baris lirik lagu ini berbunyi, ‘She Loves You, Yeah-Yeah-Yeah’. Lagu pop yeh-yeh yang pertama dihasilkan adalah pada tahun 1964 iaitu lagu ‘Suzanna’ dendangan M.Osman. Selain M.Osman antara penyanyi yang turut mencipta nama melalui irama pop yeh-yeh adalah seperti A.Ramlie, S.Jibeng, Jeffrydin dan Ahmad Jais, manakala band yang popular pula adalah seperti The Rhythm Boys, The Hook, The Jayhawkers dan The Siglap Five. Ciri-ciri bunyian irama pop yeh-yeh yang mempunyai vokal yang mendayu-dayu, permainan drum yang simple, riff gitar yang mudah dan rancak serta permainan bass yang berbunga menyebabkan ianya mudah untuk diterima umum.
Pada awal era 1970′an, muzik kita telah dibentuk oleh beberapa gaya muzik. Era ini merupakan era dimana kita membuat kembali penelitian, penemuan dan perkembangan semula terhadap scene muzik kita. Masalah antara kaum yang tidak dapat dikawal diantara tahun 1969 hingga 1970 telah membawa kepada darurat dan sekaligus membantutkan perkembangan industri muzik dalam negara. Setelah keadaan didalam negara pulih seperti sedia kala, industri muzik turut mengalami proses pemulihan dan penyesuaian semula. Ianya merupakan zaman yang sukar bagi industri muzik kita kerana kehidupan yang tidak selesa dan ditambah pula dengan hasil atau pulangan yang tidak seberapa, namun begitu pada masa yang sama teknologi rakaman telah meningkat,peningkatan kepelbagaian instrument muzik dipasaran dan memperlihatkan lebih ramai masyarakat yang meminati muzik. DJ Dave, Hail Amir dan Uji Rashid merupakan antara individu-individu yang mampu survive pada ketika itu kerana memperkenalkan pengaruh muzik Hindustan di dalam lagu-lagu mereka. Pada lewat 1970′an industri muzik kita banyak dipengaruhi muzik-muzik dari ABBA, Boney M, Madonna dan sebagainya. Pengaruh-pengaruh muzik seperti ini telah di bawa oleh syarikat-syarikat rakaman besar seperti EMI(UK) dan juga Sony(Jepun). Kumunculan syarikat-syarikat rakaman besar ini telah menyokong perkembangan muzik pop kita yang seakan-akan sama muzik Barat(kebanyakkan pemuzik dan penyanyi ketika itu bernaung dibawah syarikat-syarikat rakaman besar ini). Walaupun muzik pop kita seakan sama dengan muzik Barat tetapi ianya masih mempunyai karektornya yang tersendiri, antaranya mempunyai irama yang bercirikan ketimuran, lirik yang berbentuk puisi atau sajak serta lirik yang mendalam maksudnya.
Era 80′an merupakan zaman kegemilangan rock kangkang atau lebih dikenali sebagai rock kapak dimana penghujung 80′an merupakan zaman emas rock kapak. Rock kapak terhasil dari pengaruh budaya muzik rock Barat yang mendorong kemunculan band-band rock tempatan. Band-band rock Barat seperti Scorpions, Led Zeppelin dan Deep Purple merupakan antara entiti yang menjadi rujukan band-band rock tempatan pada ketika itu. Perkembangan rock kapak juga turut dibantu oleh penganjuran pertandingan peringkat kebangsaan seperti Juara Rock, Festival Rock dan Battle Of The Bands. Pertandingan kumpulan rock kebangsaan yang pertama diadakan adalah pertandingan Juara Rock 1983 yang mana telah dimenangi oleh D’Febians dan The Lefthanded. Pada tahun berikutnya iaitu di Juara Rock 1984, The Burnmarks telah meraih tempat pertama, Hurricane ditempat ke-2 dan tempat ke-3 telah di menangi oleh kumpulan Gersang. Juara Rock merupakan perintis kepada wujudnya pertandingan-pertandingan rock yang lain selepas itu. Zaman itu merupakan zaman yang meriah dengan imej glamnya, seluar ketat, lipstik dan rambut karennya.
Selepas era rock kapak semakin malap, tahun 90′an muncul pula era rock moden kata orang. Band seperti Spring dan Ukay’s merupakan antara band yang menjadi kegilaan ketika itu dengan lagu-lagu hangat mereka seperti ‘Butakah Cinta’ dan ‘Disana Menanti, Disini Menunggu’.Uih, rock ke? Jiwang sangat daa…Dalam tahun 2000 pasaran kita disogokkan pula dengan irama poprock. Spin, Scoin dan Sting merupakan antara band-band yang menguasai pasaran poprock ketika itu(ini pun jiwang juga ni, tak rock langsung). Selepas itu scene muzik kita menjadi agak suram dengan lambakan muzik seperti nasyid, hip-hop, rancangan realiti TV dan muzik-muzik dari Indonesia. Namun begitu scene muzik kita seakan bernyawa kembali pada tahun 2007 apabila para pendengar mula menerima muzik-muzik garapan band-band indie. Muzik yang dibawa secara indie ini nyata lebih kreatif, penuh mesej, lebih telus dan jujur dalam berkarya.
Pendengar muzik kita bolehlah dikatakan pendengar yang tegar kerana mereka boleh menerima pelbagai jenis genre muzik untuk santapan halwa telinga mereka. Ironinya pendengar kita masih lagi menanti dan mencari sesuatu yang baru dan segar untuk didengar. Oleh itu, para pemuzik perlu berani melakukan perubahan agar muzik kita tidak tersekat disatu sudut penjuru pemikiran dalam bermuzik. Kita tewas dari segi mentaliti dan usaha sedangkan pemuzik luar aktif mencari pembaharuan dalam karya muzik mereka agar dapat diterima umum. Industri kita pula hanya mementingkan keuntungan semata-mata dan meriah dengan gosip-gosip dan publisiti-publisiti yang tidak membawa kepada perkembangan industri. So apa yang akan jadi kita punya muzik 10 atau 20 tahun lagi? Mampukah muzik indie ini membawa perubahan kepada industri?
Nota:Ini merupakan hasil penulisan aku yang ke-2 tuk blog lama aku yang mana aku cuba mengupas isu citarasa pendengar muzik kita yang sentiasa berubah-ubah.
Tuesday, December 1, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment