Monday, August 31, 2020

Modescape Hadir Dengan Bebas

Modescape ditubuhkan pada 2012 sebagai salah satu saluran untuk mengekspresikan muzik mereka. Mereka kemudiannya mula mencuri perhatian umum dengan single hit mereka 'Hilang' yang telah menjadi OST untuk filem Aliff Dalam 7 Dimensi. Ini disusuli dengan hit kedua mereka 'Dunia' yang sudah lebih 65 ribu kali didengar di Spotify. Mereka juga pernah merasai pengalaman berkongsi pentas bersama nama-nama besar antarabangsa antaranya Usher, Crown The Empire dan Mayday Parade. "Perlahan tetapi pasti", kesungguhan dan komitmen Modescape boleh dilihat dengan jelas dalam penambahbaikan, evolusi dan eksperimen mereka terhadap muzik.

Pada 27 Ogos yang lalu, Modescape telah berjaya melancarkan single terbaru mereka yang berjudul 'Bebas'. Ini diikuti dengan muzik video 'Bebas' yang juga telah berjaya dilancarkan pada tarikh yang sama. Menurut Shah yang merupakan penyanyi utama Modescape, kisah disebalik lagu ini adalah tentang pencarian untuk ketenangan jiwa dan membebaskan diri dari kesakitan emosi. Penceritaan didalam muzik video juga selari dengan idea Shah, "Lebih baik melepaskan daripada bertahan tetapi menyakitkan". Dibintangi Aidilla Shaffi sebagai teraju utama, beliau menterjemahkan emosi lagu ini kedalam tarian berkonsepkan moden komtemporari.

Bagi menghadapi waktu yang sukar ini, Modescape terus memotivasikan diri mereka supaya berfikiran positif untuk terus berkarya sepertimana band-band yang lain. Mereka juga sangat berharap agar dapat kembali beraksi di arena gig dan persembahan secara langsung dimasa akan datang. 'Bebas' adalah sebuah hadiah yang istimewa buat peminat setia mereka dan dalam masa yang sama mereka berharap single ini akan turut dapat memenangi hati para pendengar baru. Modescape juga teringin untuk bermain secara atas talian/streaming dan masih berharap jika ada penganjur yang akan memberi ruang dan peluang kepada mereka. Bagi Modescape, mereka akan sentiasa bergerak secara 'indie' dan pada masa yang sama mereka akan memantapkan lagi reputasi mereka di pentas muzik tempatan.



0 comments:

Post a Comment