Wednesday, September 1, 2010

Asal Usul Lagu Negaraku


Salam kemerdekaan dan salam Ramadhan kepada semua. Diam tak diam dah 53 tahun negara kita Malaysia merdeka dan sepanjang tempoh tu bermacam-macam sejarah telah tercatat. So sempena kemerdekaan ke-53 negara kita ni aku nak cerita sikit pasal sejarah lagu kebangsaan kita iaitu “Negaraku” dengan harapan semangat patriotik korang terhadap negara semakin menebal. Aku tengok budak-budak sekarang ni dah semakin terhakis la diaorang punya semangat patriotik tu coz terlalu taksub sangat dengan budaya luar. Aku dah bosan untuk melihat dan mendengar diaorang ni mempersenda serta mempermainkan  sesuatu yang dicipta untuk menaikkan semangat cintakan negara dimana simbol-simbol yang dicipta ni menjadi sumber perpaduan dan aspirasi bangsa Malaysia. So dengan penulisan aku ni aku harap dapat menyuburkan semangat patriotik didalam diri mereka dan juga diri kita supaya perjuangan nenek moyang kita lebih dihargai.
Menurut sumber, lagu “Negaraku” di ambil dari lagu negeri Perak yang berasal dari lagu “Terang Bulan” atau “La Rosalie” yang dibawa pulang oleh Sultan Abdullah dari Pulau Mahé di Kepulauan Seychelles setelah baginda selesai menjalani hukuman dibuang negeri kerana didakwa bersubahat membunuh J.W.W Birch. Lagu “La Rosalie” ni telah dicipta oleh seorang komposer dari Perancis bernama Pierre Jean de Beranger(1780-1857). Lagu “La Rosalie” ini kemudiannya telah diberikan seni kata baru dan dinamakan “Allah Lanjutkan Usia Sultan” seterusnya dijadikan lagu rasmi negeri Perak. Sementara itu, satu produksi bangsawan Indonesia telah memperkenalkan “La Rosalie” kepada umum ketika mereka mengadakan persembahan di Singapura. Melodi asal lagu itu telah diberi sentuhan keroncong. Tajuknya ditukar kepada “Trang Boelan” dan liriknya pula bertemakan cinta. Walaupun asas melodinya sama dengan lagu rasmi negeri Perak, “Trang Boelan” juga menjadi siulan dan dimainkan di parti-parti di Indonesia dan Malaya sekitar tahun 20-an dan 30-an.
Sejurus selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu iaitu pada tahun 1948 dan setelah terciptanya bendera asas kepada Jalur Gemilang sehinggalah 1965, tiada usaha dijalankan untuk mencipta satu lagu kebangsaan yang diterima pakai sebagai lagu kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk memilih lagu kebangsaan. Berdasarkan cadangan beliau, pertandingan antarabangsa telah diadakan dan sebanyak 514 penyertaan diterima dari seluruh pelusuk dunia. Jawatankuasa pemilihan mendapati 4 buah penyertaan yang layak untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan iaitu lagu-lagu hasil ciptaan Benjamin Britten, Sir William Walton, Carlo Minetti dan Zubir Said.
Walaubagaimanapun penyertaan terpilih ni masih tidak dapat memenuhi kehendak ahli-ahli jawatankuasa dalam pemilihan lagu kebangsaan. Pihak jawatankuasa mengambil keputusan untuk meneliti 11 lagu-lagu rasmi negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu untuk dipilih sebagai lagu kebangsaan. Akhirnya pihak jawatankuasa membuat keputusan pada 5 Ogos 1957 dan mengambil irama rasmi negeri Perak berdasarkan ciri-ciri tradisional yang ada pada irama lagu tersebut. Lagu rasmi negeri Perak telah diubahsuai dan lirik lagu kebangsaan ditulis oleh ahli-ahli panel jawatankuasa pemilihan dan Tunku Abdul Rahman sendiri.
Itulah serba sedikit sejarah ringkas lagu “Negaraku” yang dapat aku tulis. Aku ingin meminta maaf jika penulisan aku ni tersilap beberapa fakta. Namun begitu sepanjang penulisan ini aku terfikirkan sesuatu,”Alangkah baiknya jika lagu “Negaraku” ini datang dari idea yang asal atau asli.” Hmmm…??? Korang fikir la sindiri…

0 comments:

Post a Comment